Sunday, December 14, 2008

Nilai barang antik

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

MEMINATI barang antik bukan sekadar hobi, sebaliknya ia menjadi kegilaan bagi sebilangan orang. Umpama orang bercinta, peminat barang antik sentiasa terbayang barangan yang dilihat dan diminati serta tidak boleh tidur malam sehingga ia berjaya dimiliki.

Disebabkan kegilaan terhadap barang antik, ramai tidak berkira pasal wang, asalkan dapat memiliki barang antik yang dihajati. Ternyata koleksi barang antik sesuai dimiliki ‘orang berduit’ kerana harganya mahal hingga mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit.


Pelelong barangan antik berlesen, Mohd Radzuan Jamaluddin, berkata barang antik ada tarikan tersendiri bukan saja kerana usianya yang dikategorikan sebagai antik, malah seni buatannya yang halus serta sukar didapati pada masa kini.

Meninjau galeri barang antik Radzuan di Shah Alam seolah-olah kembali ke zaman lampau. Barang antik daripada perhiasan rumah, perabot, mesin taip, radio, keris, kain cindai dan kain lima serta aksesori wanita disimpan rapi sementara menunggu masa dilelong. Ada barangan antik daripada koleksinya sendiri dan ada juga kepunyaan orang perseorangan yang dikumpul dari seluruh negara. Lelongan dijalankan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dijangka diadakan pada November depan.

Barangan pertama ditunjukkan Radzuan ialah kayu belian iaitu kayu paling keras yang menjadi koleksi peribadinya diletakkan di tepi pintu masuk ke satu bahagian di pejabatnya.

Diperoleh daripada seorang tukang kayu, Radzuan berkata, kayu berkenaan sukar dimiliki pada awalnya kerana tukang kayu itu tidak mahu menjualnya.

“Walaupun lelaki itu tukang kayu yang menjual pelbagai jenis kayu berukir, dia tidak mahu menjual kayu belian yang menjadi koleksi kesayangannya.

“Kayu ini dikatakan digunakan oleh raja zaman dulu. Ia tidak banyak ukiran kerana terlalu keras, lebih daripada kayu jati. Apapun, selepas puas memujuknya, tukang kayu berkenaan setuju menjualnya,” katanya.

Radzuan turut menunjukkan koleksi mesin taip pada 1913 dan 1915 yang memiliki reka bentuk menarik. Ada mesin taip yang direka bentuk tanpa penutup hingga nampak segala ‘isi perut’, selain mesin taip pertama yang mempunyai kalkulator.

Beliau menunjukkan koleksi radio yang jarang dimiliki hari ini iaitu gramofon yang dihasilkan pada 1950-an dan 1960-an. Lebih istimewa ialah radio ‘polyphone’, iaitu antara radio paling awal dicipta yang hanya memperdengarkan muzik.

Antara barang antik dijangka menarik perhatian ramai pada lelongan November depan ialah kerongsang berusia lebih 100 tahun yang akan dijual pada harga RM150,000 satu set. Kerongsang intan dan rubi itu adalah eksklusif kerana ia karya asal dan tidak dijual di kedai.

“Kerongsang ini saya beli daripada pemilik asal di Melaka. Ada tiga set kerongsang, tetapi saya hanya membeli dua set kerana harganya mahal,” katanya.

Tersergam di satu sudut ialah empat keping bidai dari China yang mempunyai seni ukiran menarik dan akan dilelong pada harga lebih RM20,000. Sementara itu, pelita minyak tanah zaman Victoria yang mempunyai reka bentuk menarik akan dilelong pada harga RM5,000 ke atas.

Di satu sudut lain, Radzuan menunjukkan kain lama seperti songket berwarna merah hati yang akan dilelong pada harga RM10,000, kain lima berusia lebih 200 tahun serta kain cindai berusia lebih 100 tahun.

Pengendali lelongan barang antik itu kemudian mengangkat perhiasan yang digunakan untuk mengisi jambangan bunga segar pada zaman Victoria.

Uniknya, proses menghasilkan bentuk kelopak bunga pada perhiasan itu perlu dilakukan dalam masa satu minit dengan cara meniupnya dengan api. Jika tidak, bahagian berkenaan tidak dapat dibentuk sebagaimana dikehendaki kerana sudah mengeras. Perhiasan berwarna hijau akan dilelong bermula RM7,000 manakala perhiasan yang mempunyai kelopak bunga lebih banyak akan dijual lebih mahal sehingga menjangkau RM20,000.

Radzuan yang mengendalikan lelongan barang antik juga dengan kerjasama UPM di Tasik Putrajaya, tahun lalu, bercadang mengadakan lelongan dua kali setahun dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Beliau mengalu-alukan orang perseorangan yang mempunyai barang antik menjual barangan itu dalam lelongan berkenaan.

“Sehingga kini saya mengumpul barangan antik untuk dijual dalam lelongan besar-besaran itu. Sesiapa yang berhajat menjual barangan antik mereka memang dialu-alukan. Masih banyak lagi barangan antik dan unik yang akan dijual pada lelongan itu, misalnya tahi bintang milik seseorang di Kuantan, zamrud 48 karat dan tembikar berusia 3,000 tahun.

“Banyak barangan antik yang dijual masih boleh digunakan seperti sterika, radio dan kacip pinang pelbagai jenis,” katanya.

Turut ada dalam koleksi untuk lelongan itu ialah al-Quran pada zaman penjajahan Belanda. Al-Quran lama bertulis tangan itu ditemui polis Belanda daripada orang yang mati dibunuh.

“Al-Quran itu milik seorang peminat barang antik. Jika di pusat lelong di Makkah, harganya boleh mencecah RM80,000 hingga RM120,000. Yang ini, harganya dalam lingkungan berkenaan juga kerana zaman penjajahan Belanda berlalu ratusan tahun lalu,” katanya.

Lelongan barang antik secara besar-besaran sudah lama dijalankan di Singapura dan Thailand. Bagaimanapun, Radzuan baru mulakan lelongan seperti ini sejak tiga tahun lalu. Antara tempat popular bagi penjualan barang antik mampu beli ialah di Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Ditanya berapa lama usia sesuatu barangan sehingga layak digelar antik, Radzuan berkata, di Malaysia, barangan berusia 50 tahun ke atas boleh dikategorikan antik.

“Ini kerana sejarah negara kita tidak begitu lama. Di Mesir atau China misalnya, usia barang lebih 100 tahun dikira antik. Malah di negara yang tamadunnya lebih lama, barang antik berusia sehingga 500 atau 1,000 tahun,” katanya yang lebih minat mengumpul barang antik untuk dekorasi rumah.

No comments: